ibadah qurban




HUKUM HAKAM QURBAN BERDASARKAN MAZHAB AS SHAAFI’E

QURBAN

Pengertiannya

Qurban ialah sembelihan binatang, iaitu unta, lembu, kambing dan biri-biri. Qurban ini bertujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah SWT dan dilakukan pada Hari Raya Qurban.

Dalil Pensyariatan
Dalil pensyariatannya ialah firman Allah SWT:
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Surah al-Kautsar: 2)

Maksud sembelih dalam ayat tersebut menurut pendapat yang paling sahih ialah sembelihan qurban.

Dalil hadith pula ialah:
Maksudnya: "Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai qurban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut". Riwayat al-Bukhari (5245) dan Muslim (1966)

Hikmah Pensyariatan
Qurban ialah ibadat. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain.

Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya tentang qurban adalah untuk menghayati samangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, iaitu ketika Allah SWT menguji Baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah SWT menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Ibrahim AS dan anaknya berusaha bersama-sama melaksanakan perintah Allah SWT.

Di samping hikmah tersebut, ibadat qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Hukum Qurban
Hukum Qurban ialah sunat muakkad tetapi kadangkala menjadi wajib dengan dua sebab:

Pertama: Apabila seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang boleh dijadikan qurban sambil berkata: Inilah qurbanku atau Aku akan qurbankan kambing ini. Dengan itu dia wajiblah melakukannya.

Kedua: Apabila seseorang berazam hendak melakukan qurban untuk mendampingkan diri kepada Allah dengan berkata: Aku mewajibkan diriku berqurban kerana Allah. Lantas menjadi wajib kepadanya melaksanakan qurban itu. Hal ini samalah jika dia mewajibkan dirinya melakukan sebarang ibadat-ibadat sunat kerana ketika itu ia telah menjadi nazar.

Orang yang Dituntut Berqurban
Sunat berqurban bagi orang-orang yang cukup syarat-syarat berikut:
Pertama: Islam.
Tidak dituntut berqurban bagi orang yang bukan Islam.

Kedua: Baligh dan berakal.
Orang yang belum baligh dan tidak berakal tidak sunat berqurban kerana tidak mukallaf.

Ketiga: Berkemampuan.
Maksud berkemampuan ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari hari raya dan hari Tasyriq.

Binatang yang Disyariatkan Untuk Qurban
Qurban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih qurban (atau lain-lainnya supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka, binatang-binatang ternak yang disembelih itu. (Surah al-Haj: 34)

Tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan qurban selain daripada binatang-binatang tersebut.

Binatang yang afdhal dijadikan qurban ialah unta, diikuti lembu dan kambing. Harus berqurban dengan seekor unta jantan atau betina atau lembu untuk tujuh orang.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA katanya:
Maksudnya: "Kami berqurban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang". Riwayat Muslim (1318)

0 cambest:

Post a Comment